Sunday, 29 July 2012

Sesungguhnya aku orang yang berpuasa


كل عمل ابن آدم يضاعف الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف، قال الله تعالى: إلا الصوم (فضله) ، فإنه لي، وأنا أجزي به، يدع شهوته وطعامه من أجلي، للصائم فرحتان : فرحة عند فطره، وفرحة عند لقاء ربه. ولخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك، والصوم جنة، وإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولا يصخب ، فإن سابه أحد أو قاتله، فليقل: إني امرؤ صائم
Petikan di atas adalah sepotong hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, mafhumnya:
“Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya; satu kebaikan diberikan pahala antara 10 hingga 700 kali ganda. Allah berfirman: kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku. Aku akan memberi balasan puasa itu. Dia (anak Adam) mengetepikan syahwatnya dan meninggalkan makanannya kerana-Ku. Untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: kegembiraan ketika dia berbuka dan kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya. Dan sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada haruman kasturi. Puasa itu perisai. Pada hari salah seorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata yang buruk dan membuat fitnah. Jika dia dicela oleh seseorang atau diperangi, maka hendaklah dia berkata: sesungguhnya aku orang yang berpuasa!”
Alangkah besarnya nilai hadis ini. Ia membawa maksud semua amal yang baik, sama ada perkataan atau perbuatan, yang zahir atau batin, yang berkaitan dengan hak Allah atau hak hamba, diberi ganjaran berlipat-lipat kali ganda, antara 10 hingga 700 dan seterusnya mungkin lebih banyak lagi.
Namun puasa dikecualikan daripada hitungan ini. Allah menyatakan bahawa puasa adalah untuk-Nya. Dia sendiri yang akan memberikan ganjaran daripada kemurahan dan kurniaan-Nya tanpa tertakluk kepada hitungan gandaan 10 atau 700. Dia akan memberi ganjaran kepada hamba-Nya yang berpuasa tanpa hisab.
Kenapa?
Sebab orang yang berpuasa sanggung meninggalkan syahwat, makan dan minum semata-mata kerana Allah. Dia tidak makan dan tidak minum meskipun tiada siapa yang melihat dan memerhatikannya kerana dia takut kepada Allah, mengharap keampunan dan keredhaan Allah semata-mata.
Maka alangkah besar ganjarannya! Tak tergambar di mata, tak terlintas di hati manusia.
Namun, adakah semua orang yang berpuasa akan menikmati ganjaran yang hebat itu?
Hadis ini menunjukkan bahawa puasa yang sempurna yang melayakkan seseorang hamba mendapat ganjaran tak terbatas itu ialah dengan meninggalkan dua perkara:
Pertama: meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa secara hissi, iaitu makan, minum, bersetubuh dan seumpamanya.
Kedua: meninggalkan perkara-perkara yang menjejaskan maksud puasa serta mengurangkan kesannya iaitu bercakap bohong, mengumpat, memfitnah, bertengkar, dan berbual kosong. Orang yang berpuasa juga mesti meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan dan berhenti daripada melakukan maksiat.
Sehinggakan jika dia dicabar atau diprovokasi, dia hendaklah berkata dengan tegas kepada pencabarnya: “Sesungguhnya aku adalah orang yang berpuasa!”
Kata-kata ini secara tidak langsung mengandungi tarbiah dan pengajaran kepada diri orang yang berpuasa itu serta lawannya. Dia seolah-olah berkata, “Sebenarnya aku bukan tidak mampu untuk membalas kata-katamu itu, bukan tidak mampu untuk melawan kamu! Tetapi aku berpuasa. Aku menghormati puasaku. Aku ingin memelihara kesempurnaan puasaku sebagaimana yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya. Sebagai orang yang berpuasa, aku diajar supaya tidak melawan, aku digesa supaya bersabar. Maka pendirianku ini lebih baik daripada sikapmu yang mahu bergaduh itu.”
Hadis itu juga ada menyebut bahawa puasa itu junnah atau perisai. Ia benar-benar perisai yang melindungi seseorang hamba daripada melakukan dosa di dunia dan melindunginya daripada azab neraka di akhirat.
Maka selayaknyalah orang yang berpuasa itu mendapat anugerah pahala yang besar di akhirat, di samping ganjaran bahagia di dunia. Itulah maksud hadis bahawa untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan. Kegembiraan ketika berbuka yang merupakan ganjaran segera daripada Allah di dunia ini dan kegembiraan apabila bertemu-Nya nanti dengan ganjaran yang tidak terhitung banyaknya.
Selamat berpuasa.

No comments:

Post a Comment