Saturday, 28 July 2012

Kelebihan bersedekah dibulan ramadhan

Gambar hiasan

Rasulullah S.A.W sentiasa menunjukkan teladan kepada umatnya dalam perbuatan bersedekah. Sabda Rasulullah yang bermaksud, "Jagalah kalian dari Neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma.' (Hadis Bukhari).
Di sini jelas kepada kita bahawa Islam sangat menekankan kepada amalan bersedekah dan nilai sedekah itu tidaklah hanya tertakluk kepada banyaknya yang dihulurkan seseorang, akan tetapi terletak pada nilai keikhlasan niat di hati.
Dalam sebuah hadis yang lain Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud,"Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari hasil yang baik dan Allah S.W.T hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah S.W.T akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti gunung." (Hadis Bukhari)
Begitulah indahnya ajaran Islam yang menggalakkan umatnya bersedekah dan Allah S.W.T sendiri menjamin pahala untuk orang yang mengamalkannya sebagai agenda kehidupan mereka.
Menyentuh aspek bersedekah, Islam tidak pernah mengehadkan tempoh masa malahan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa saja mengikut kemampuan seseorang. Namun demikian, amalan bersedekah yang paling afdal di sisi Allah S.W.T ialah ketika bulan Ramadan.
Ini dapat kita perhatikan menerusi satu hadis Nabi bermaksud, dari Ibnu Abbas, berkata: "Rasulullah S.A.W adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadhan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi S.A.W). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.' (Hadis Bukhari dan Muslim)
Jadi berasaskan kepada hadis itu dapat disimpulkan bahawa kita sebagai umat Islam sangat dituntut dalam membudayakan amalan bersedekah, lebih-lebih semasa menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang penuh berkat itu.
‏اليد العليا خير من اليد السفلى واليد العليا هي المنفقة واليد السفلى هي السائلة
Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang dibawah adalah orang yang meminta
(HR. Bukhari no.1429, Muslim no.1033) 

No comments:

Post a Comment