SIAPAKAH orang yang dibenarkan berbuka pada Ramadan dan adakah mereka wajib menggantikannya (qada)?
Antara mereka yang dibenarkan berbuka ialah:
l Orang tua yang uzur. Mereka diwajibkan menggantikan puasa dengan membayar fidyah sebanyak satu cupak untuk satu hari (anggaran 675 gram = RM1.75) dan tidak wajib menggantikan puasanya (qada) mengikut pendapat Imam Syafie, Hanafi dan Maliki.
l Orang sakit yang tiada harapan sembuh juga sama hukumnya sama seperti golongan uzur mengikut pendapat tiga imam tadi. Antara penyakit itu ialah: leukemia, kanser usus, Aids, meningitis (jangkitan selaput otak), pneumonia (jangkitan paru-paru), pyelonephritis (jangkitan saluran kencing) dan septisemia (pemusnahan tisu akibat bakteria di dalam saluran darah).
l Orang yang bermusafir sejauh dua marhalah (88.7 km) yang membolehkannya sembahyang qasar. Syaratnya, ketika musafirnya sebelum terbit fajar. Haram berbuka bagi mereka yang bermusafir di siang hari mengikut pendapat Imam Syafie. Beliau juga berpendapat bagi yang bermusafir pada suatu waktu saja iaitu bersifat sementara (tidak kekal musafir). Mereka diwajibkan menggantikannya pada waktu lain. Manakala bagi yang sentiasa bermusafir tidak diharuskan berbuka kerana tiada ruang masa untuk mengqadanya.
l Ibu hamil yang bimbang terhadap dirinya atau janin di dalam perutnya diharuskan berbuka mengikut pendapat Syafie dan Hanafi. Jika akan berlaku kemudaratan kepada salah satu dari keduanya maka jumhur ulama berpendapat ia wajib berbuka. Ini berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: Janganlah kamu mencampakkan dirimu ke lembah kebinasaan (Al-Baqarah: 195.
Begitupun ibu yang menyusukan anaknya. Maka diwajibkan menggantikan puasa serta membayar fidyah (satu cupak) jika dibimbangi terhadap janinnya saja. Jika bimbang terhadap keduanya maka diwajibkan qada saja tanpa diwajibkan membayar fidyah. Mengikut pendapat Imam Syafie, hukumnya sama juga bagi mereka yang mengambil upah menyusukan anak atau mendermakan-nya jika tiada orang lain yang tampil membantu.
l Mereka yang bekerja berat sehingga terpaksa berbuka seperti pekerja di sektor pertanian, pembinaan dan lain-lain dengan syarat tiada pekerjaan lain untuknya meneruskan kehidupan. Bagaimanapun hendaklah dia berniat puasa pada malamnya dan jika dia tiada berdaya lagi bolehlah dia berbuka dan wajib menggantikan pada hari yang lain (qada).
Seseorang meninggal dunia sedangkan dia masih belum melunaskan qada puasa yang lalu dan walhal dia berupaya melakukannya ketika hayatnya. Adakah dibolehkan ahli keluarganya menggantikan puasa bagi pihaknya?
Rasulullah SAW bersabda melalui hadis Aisyah RA bermaksud: “Barang siapa yang meninggal dunia sedangkan ia masih mempunyai kewajipan puasa, maka hendaklah digantikan oleh ahli keluar-ganya (walinya). (Bukhari, Muslim dan Ahmad dalam Musnad-nya).
Berdasarkan hadis ini, adalah disunatkan bagi keluarga si mati menggantikan puasa orang yang meninggal tanpa membayar fidyah. Boleh juga puasa ini dilakukan orang lain tetapi selepas mendapat keizinan dari ahli keluarga si mati.
Pernah datang seorang lelaki berjumpa Nabi SAW lalu bertanya : “Wahai Rasulullah, ibu saya meninggal dunia sedangkan ia masih mempunyai hutang puasa selama sebulan, bolehkah saya mengqadakan puasa itu bagi pihaknya ? Maka sabda Rasulullah yang bermaksud : “Seandainya ibumu mempunyai hutang, apakah kamu akan membayar hutangnya? Maka jawab lelaki itu: `Ya`. Maka Rasul SAW bersabda: Hutang kepada Allah adalah lebih perlu untuk dibayar. (Riwayat Ahmad).
Bagaimanapun diharamkan bagi seseorang mewasiatkan kepada keluarganya untuk menggantikan puasanya sedangkan dia masih hidup.
Antara berbuka puasa dan solat Maghrib. Yang manakah patut didahulukan?
Sunat berbuka dulu sebelum solat dengan tamar atau air sebelum sembahyang. Dari Anas RA berkata: “Bahawa Rasulullah SAW berbuka dengan beberapa biji kurma atau dengan beberapa teguk air saja. (Riwayat Abu Daud).
Jika makan sudah dihidangkan maka diharuskan kita mendahului makan berdasarkan sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud: “Jika makan malam sudah dihidangkan, maka makanlah dulu sebelum solat Maghrib, janganlah kamu melengahkannya.
Dalam hadis yang lain sabda Nabi SAW bermaksud: “Apabila bertembung antara makan malam dan solat Isyak maka didahulukan makan malam”. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada individu masing-masing yang lebih mengetahui mengenai dirinya sendiri.
No comments:
Post a Comment