Friday, 27 July 2012

Bagaimana kita menyambut Ramadhan?


Ramadhan dianggap bulan termulia di dalam bulan-bulan Islam. Penurunan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan menjadikan bulan ini sangat mulia lagi istimewa. Di dalamnya terdapat pelbagai fadilat yang harus dikejar oleh setiap umat Islam bagi mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan. Bulan Ramadhan juga dianggap sebagai Madrasah Kerohanian di mana pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Risalah kali ini akan memaparkan dua pesanan pilihan berkenaan cara kita menyambut Ramadhan.

Pesanan Shaikh Abdul Aziz bin Baz[1]

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu,
moga-moga kamu bertaqwa. [al-Baqarah 2:183]


Di dalam bulan puasa seorang Islam dilatih mengawal diri daripada berlebih-lebihan, seperti mengawal diri daripada keinginan memuaskan syahwat (di siang hari). Mengawal diri juga memiliki banyak faedah baik dari aspek kesihatan maupun ke arah kerohanian. Di antara faedahnya adalah seorang Muslim akan merasai kelaparan yang dilalui oleh seorang Muslim lain yang tidak memiliki makan atau minum yang mencukupi sebagaimana yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Afrika.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang diutamakan, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan Al-Quran (dalam bulan ini) dengan firmannya:

Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,
dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan
antara yang benar dengan yang salah. [al-Baqarah 2:185]


Di dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana firman-Nya:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. [al-Qadr 97:1-3]


Selain itu diampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh iman dan azam. Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh
Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar
dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.[2][Shahih Muslim – hadis no: 760]


Kewajipan berpuasa (juga mengajar kita) menjaga diri daripada perbuatan mengumpat (ghibah), mengadu, berbohong dan mendengar perkara-perkara hiburan. Ia mencegah kita daripada melakukan semua keburukan kepada memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah dan bersungguh-sungguh di dalam melakukan amal ibadat khusus pada 10 terakhir bulan Ramadhan.

Demikian beberapa pesanan Shaikh Abdul Aziz bin Baz berkenaan hikmah dan keutamaan bulan Ramadhan.

Pesanan Dr Ahmad Abu Halabiah - ahli majlis tertinggi fatwa Palestine[3]
Terdapat beberapa adab yang perlu diperhatikan dalam bulan Ramadhan. Adab-adab tersebut adalah:

Pertama:
Sabar ke atas musibah dan kecaman yang menimpa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam  mengajar kita bahawa pada hari Ramadhan, jika seseorang menyakitkan hati atau mencela kita maka katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa... sesungguhnya aku sedang berpuasa.”[4]



Kedua:
Digalakkan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana Ramadhan merupakan bulan ketaqwaan sebagai
mana firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan keatas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan keatas orang yang terdahulu daripada kamu moga-moga kamu bertaqwa.
[al-Baqarah 2:183]

Ketiga:
Menjaga diri daripada mengumpat dan mengadu domba (gossip) kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan secara mutlak sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selain Ramadhan, akan tetapi pengharamannya diberi penekanan yang lebih jelas dalam Ramadhan.[5]

Keempat:
Sentiasa mengingati amalan agama, hal-ehwal sesama Islam dan membantu sesama Muslim menyelesaikan masalah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.[6]





Kelima:
Dalam bulan yang mulia ini dianjurkan mengambil tahu hal ehwal keluarga kerana mereka itu adalah amanah dan bebanan (tanggung-jawab) kita sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka
yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu. [al-Tahrim 66:06]

Selain itu saya menasihatkan diri saya dan semua saudara-saudara Islam agar dimanfaatkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang baik berikut:
1.      Menjaga solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula menunaikan solat Jumaat dan menghadiri majlis ilmu.

2.      Menghadiri solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat dan kepada mereka terdapat ganjaran.

3.      Memelihara solat malam (qiamullail) dan tahajud setelah pertengahan malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah.

4.      Beriktikaf untuk beberapa malam di bulan Ramadhan di masjid bagi lelaki tanpa menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka yang mencari rezeki.[7]

5.      Memelihara pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian. Pembacaan Al-Quran sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat keseluruhannya.

6.      Memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan masjid, pusat rawatan orang-orang tua, sekolah-sekolah dan lain-lainnya.

7.      Merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.

8.      Dilarang melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan jiran-jiran secara khusus. Pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Seorang muslim ialah orang yang selamat lidah dan tangannya terhadap muslim yang lain.[8]




لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشُّرْبِ، إِنَّمَا الصَّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ.
Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor. [Hadis ini dikeluarkan oleh al-Hakim dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 5376]
Larangan mengumpat dan mengadu domba tidak sahaja terhad kepada bulan Ramadhan tetapi berlaku umum untuk setiap masa dan tempat. Penekanan diberi dalam bulan Ramadhan sebagai latihan dan ulang-peringatan. Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;
Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujerat 49:11-12]
[6]               Rujuk al-Mu’jam al-Ausath oleh al-Thabarani, hadis no: 7473. Penyemak kitab ini, Shaikh Mahmud Hasan Ismail menilai sanadnya sebagai bertaraf hasan.
[7]               Maksudnya tidak disyorkan berjaga di malam hari sehingga menyebabkan seseorang itu mengantuk dan tidak dapat menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya pada esok hari.

No comments:

Post a Comment