Gambar hiasan |
Sahabat yang dirahmati Allah,
Ramai orang yang mengerjakan solat, tetapi kenapa solat yang mereka kerjakan tidak dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar? Sedangkan di dalam al-Qur'an Allah s.w.t. menjelaskan bahawa solat itu dapat mencegah seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.
Seperti mana yang dinyatakan oleh Ibnu A’syur, di dalam kitab Maqasid al-Syariah, bahawa setiap kefarduan yang diwajibkan ke atas setiap mukalaf, manfaatnya kembali kepada pelaksananya. Dalam persoalan solat, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Ankabut: 45).
Maksudnya solat dapat mencegah manusia daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar. Perkara keji dalam ayat ini apa-apa perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. Ini bermakna solat dapat mengubah orang daripada keras hati menjadi lembut hati, daripada bengis menjadi penyayang, daripada malas menjadi rajin, daripada berdusta menjadi jujur dan sebagainya sifat-sifat terpuji yang akan terbentuk dengan solat.
Namun jika seseorang itu rajin solat dalam masa yang sama tidak berubah daripada sifat negatif kepada lebih positif, ini bermakna bukan salah solatnya tetapi yang salah ialah yang melakukan solat. Manusia boleh berubah dengan solat jika solat itu benar-benar dihayati dari mula melihat kepada kefarduannya, azan yang menyerunya, wuduk, takbir, segala gerakan dalam solat seperti berdiri, rukuk, sujud serta menghayati bacaan di dalamnya.
Sekiranya rahsia solat ini berjaya disingkap saya yakin manusia akan berubah. Punca solat tidak mengubah manusia ialah kegagalan kita memahami hikmah dan falsafah solat itu sendiri. Solat bukan ritual adat malahan kemuncak menjadi seorang hamba yang diwajibkan berdiri menghadap-Nya lima kali sehari dengan sifat rendah diri dan penuh keinsafan.
Anak-anak perlu diajarkan solat ketika berusia tujuh tahun. Jika berumur sepuluh tahun tidak mahu mengerjakan solat maka ibu bapa boleh memukulnya sebagai pengajaran bukannya pukul yang mendatangkan kecederaan. Apabila semasa kecil sudah diajar, diasuh dan beri galakan untuk sentiasa mengerjakan solat maka apabila mereka meningkat remaja amalan fardu solat ini dah tidak perlu disuruh kerana mereka tahu akan tanggungjawabnya kepada Allah s.w.t.
Anak-anak juga berhak mendapat kasih sayang seorang ibu dan bapa. Dalam sebuah athar ada dinyatakan yang bermaksud: “Tidak akan dikasihani orang yang tidak tahu mengasihani”. Pembesaran anak-anak ada hubungkaitnya dengan kasih sayang yang diterima oleh anak-anak daripada ibu bapa mereka. Jika hari ini kita selaku ibu bapa mencurahkan kasih sayang kelak kita akan dikasihi oleh anak-anak kita.
No comments:
Post a Comment