Thursday, 2 August 2012

MENCARI CAHAYA HIDAYAH ALLAH S.W.T.

Gambar hiasan
Orang yang sombong ialah orang yang memandang dirinya sangat sempurna dari semua segi, sering memandang rendah orang lain, menganggap orang lain tidak layak untuk mengerjakan suatu urusan, malah dia juga enggan menerima kebenaran.

Rasulullah SAW telah menjelaskan tentang bahaya sifat ini, sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak masuk syurga sesiapa yang ada dalam hatinya sedikit sifat sombong.” Kemudian seseorang berkata, “(Ya Rasulullah), sesungguhnya seseorang itu suka pakaian dan kasutnya yang bagus.” Baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah itu indah dan Ðia menyukai keindahan, (dan yang dimaksudkan dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Tahap kesombongan yang paling dahsyat adalah sombong kepada Allah dengan cara menolak kebenaran dan angkuh untuk tunduk kepada-Nya. Hakikatnya, manusia tidak layak memiliki sifat sombong kerana manusia hanyalah makhluk yang lemah.

Larangan berlagak sombong

Kadang-kala kekuasaan, kekayaan dan kecantikan itu membuatkan seseorang berjalan dengan megah, penuh kesombongan dan bongkak. Golongan ini sering memandang rendah orang bawahan, miskin, lemah dan tidak memiliki taraf yang sama dengan mereka.

Allah SWT berfirman maksudnya, “Ðan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang sombong, takbur, lagi membangga diri.” (Surah Luqman 31:18)

Allah SWT melarang keras sikap suka merendahkan orang lain sehingga memalingkan muka ketika berbicara. Allah juga murka kepada orang yang sombong, keras kepala dan berbuat sesuka hati di muka bumi ini. Segala kehebatan dan kekuasaan ini milik mutlak Allah Yang Maha Berkuasa.

Pintu hatinya terkunci mati

Firman Allah SWT, mafhumnya, “Ðemikianlah Allah mengunci mati pintu hati mereka yang sombong, lagi bermaharajalela dengan sewenang-wenangnya.” (Surah Ghafir 40 : 35)

Sebagaimana Allah SWT mengunci mati hati orang yang mempersoalkan ayat-ayat Allah, maka demikian juga Allah mengunci mati hati orang yang sombong lagi berbuat sewenang-wenangnya. Ini kerana, hati merupakan sumber kesombongan, sedangkan anggota tubuh badan hanya tunduk dan patuh mengikut kehendak hati.

Orang yang sombong juga akan mendapat kehinaan di dunia berupa kejahilan sebagai balasan perbuatannya. Perhatikan firman Allah SWT yang bermaksud, “Aku akan memalingkan (hati) orang yang sombong di muka bumi tanpa alasan yang benar daripada (memahami) ayat-ayat-Ku (yang menunjukkan kekuasaan-Ku).” (Surah al-A’raf 7 : 146)

Sebenarnya, orang yang sombong ini tidak dapat memahami ilmu-ilmu Allah. Kebijaksanaan mereka tentang wahyu dan dalil-dalil yang menunjukkan tentang keagungan, syariat, hukum-hukum Allah telah dipalingkan daripada hati mereka.

Hina di akhirat

Orang yang sombong di akhirat nanti akan mendapat kehinaan daripada Allah SWT dengan dikecilkan saiz tubuh merke sekecil semut, dan kehinaan datang kepada mereka dari segenap penjuru.

Rasulullah SAW bersabda dalam hal ini, mafhumnya, “Orang yang sombong akan dihimpunkan pada hari kiamat dalam bentuk semut-semut kecil dengan rupa manusia. Ðari segala tempat datang kehinaan kepada mereka, mereka digiring ke penjara; neraka Jahanam yang disebut Bulas, di bahagian atasnya api yang menyala-nyala dan mereka diberi minuman daripada kotoran (najis) penghuni neraka.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)

Walaupun berbagai-bagai jenis ancaman telah Allah SWT jelaskan melalui firman-Nya, namun manusia masih juga tidak insaf dan sedar. Masih ramai lagi manusia yang saban hari menunjukkan sikap sombong. Tidak takutkah kita dengan api neraka?

Allah SWT berfirman, mafhumnya, “(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: ‘Masuklah (melalui) pintu-pintu neraka Jahanam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya. Maka seburuk-buruk tempat bagi orang yang sombong ialah neraka Jahanam.” (Surah al-Zumar 39 : 72)

Jika kita perhatikan fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, ramai yang tidak mengendahkan hukum-hukum Allah SWT, tidak peduli antara halal dan haram, memperkecilkan dosa dan pahala dan sebagainya. Mungkin inilah akibat sombong, sehingga hati mereka terpesong.

Sama-samalah kita berdoa dan bermuhasabah diri supaya kita tidak memiliki sifat mazmumah ini.

No comments:

Post a Comment