Saturday, 25 August 2012

Memaafkan Kesalahan Orang Lain

Gambar hiasan
Kita manusia dikurniakan hati.Dan kita juga hidup tidak seorang.Ada orang lain di sekeliling kita.

Apabila kita hidup bermasyarakat,tidak dinafikan,pasti akan ada hati yang terluka dengan perbuatan pihak yang lain.Itu adalah normal.Dan adalah normal untuk kita marah atau terasa dengan perbuatan orang lain.

Tetapi,kita sebagai umat Islam,tidak boleh terasa/tersinggung dengan orang lain terlalu lama.Atau dalam kata lain,kita tidak boleh menyimpan dendam.

Kenapa kita tidak boleh berbuat demikian?

Ini kerana Allah SWT itu Maha Pengampun.


Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [39:53]
Jika Allah SWT yang Maha Berkuasa sendiri sedia mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang telah berdosa yang menyedari kesilapan mereka,tanpa mengira kecil atau besar kesilapan mereka,kenapakah pula kita hamba biasa yang hina ini tidak boleh membuka hati memaafkan kesilapan orang lain?
Ya,memanglah payah untuk kita memaafkan kesilapan orang lain.Ada sesetengah dari kita ini hatinya kecil.Tapi,janganlah sampai berbulan-bulan hingga ada yang bertahun-tahun berdendam.

Sesungguhnya memaafkan itu lebih baik dari berdendam.


Anas Radiyallahuan mengkhabarkan, bahawa pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, "Bahawa Allah berfirman maksudnya;

"Hai Bani Adam, selama engkau berdoa dan berharap terhadap-Ku, Aku ampunkan bagimu apa yang telah terjadi daripada kamu dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya."

"Hai Bani Adam, andaikan dosamu memuncak ke langit, kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, Aku ampunkan bagimu dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya."


"Hai Bani Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku dengan membawa dosa sepenuh bumi asalkan engkau tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu pun nescaya aku isi semua itu dengan pengampunan."

Di sini dapat kita lihat,betapa Allah SWT itu Maha Pengampun.

Jadi,kita sebagai hamba yang lemah,hendaklah bersedia mengampunkan kesalahan orang lain.Ada satu kisah saya pernah dengar,tetapi tidak berapa ingat secara jelas kerana diceritakan kepada saya semasa saya masih bersekolah (anda boleh tambah detail jika anda tahu kisah ini).

Kisah itu berbunyi lebih kurang seperti begini.Ada seorang terkenal ini.Dia berkata tips untuk dia berhati tenang adalah setiap malam sebelum tidur,dia akan memaafkan kesilapan/kesalahan semua orang kepadanya.

Ini memang benar.Jika kita memaafkan kesalahan orang lain,ini bermakna kita tidak membenarkan emosi dendam itu menguasai kita.Dan akhirnya,kita akan berjiwa tenang.


Selain itu,sikap berdendam juga (yang memutuskan silaturahim) tidak elok.Kerana Allah melarang kita memutuskan silaturahim.Apabila sesuatu itu diharamkan Allah SWT,itu bermakna sesuatu itu haram.

Memang susah untuk kita berbaik-baik dengan seseorang yang telah melukakan hati kita itu.Tetapi,cukuplah dengan kita tidak berdendam dengannya,melemparkan senyuman apabila berselisih dan yang paling penting tidak berniat memutuskan silaturahim dengannya.

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. [4:1]

(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, danmemutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi. [2:27]
Rasulullah SAW juga menuntut kita bermaaf-maafan.

“Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim ,kerana itu janganlah menganiaya,jangan membiarkannya teraniaya dan janganlah menghinanya.Taqwa tempatnya disini!Sambil baginda menunjuk ke dadanya sebanyak 3 kali.Alangkah besar dosanya menghina saudara sesama muslim,setiap muslim haram menumpahkan darah saudara sesama muslim.Haram merampas haratanya dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya” [Hadis Riwayat Muslim].

“Yang bernama hebat bukanlah orang yang banyak menjatuhkan lawannya,tetapi orang yang handal dan sejati adalah orang yang sanggup menguasai dirinya ketika marah” [Hadis Riwayat Muslim

dan pelbagai lagi hadis yang menunjukkan sikap berdendam dan memutuskan silaturahim itu adalah dilarang dalam Islam.

Kesimpulannya,jika kita mengharapkan Allah SWT memaafkan kesalahan kita yang besar,bagaimana kita tidak boleh memaafkan kesalahan orang lain?

Ya,mungkin kesalahan orang lain itu terlalu besar bagi kita untuk dimaafkan,tetapi cuba jangan berdendam.Cuba kita belajar memaafkan.Anda akan merasa kesannya kepada jiwa anda selepas anda mula memaafkan mereka.

Dan adalah lebih mulia bagi kita jika kita mendoakan semoga Allah mengubah hatinya menjadi orang yang lebih sempurna peribadi/akal.


Secara keseluruhannya,saya harap anda faham apa yang ingin disampaikan.

Semoga kita semua mendapat rahmat Allah SWT dan dikekalkan petunjuk dan hidayah Allah SWT kepada diri kita.

Saya ini menulis sebagai peringatan kepada diri sendiri juga.Apa yang salah,sila betulkan.

Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment