Tuesday 31 July 2012

Leraikan dan Damaikan Pergaduhan

Gambar hiasan

Rasulullah saw bersabda “Apabila seorang lelaki dipukul dan kamu berada di antara sekumpulan orang (yang memukulnya), jadilah kamu sebagai penolong lelaki itu dan cegahlah mereka (yang memukulnya), selepas itu tinggalkanlah mereka (Riwayat Ibnu Dunya dari Anas r.a.)
Bantulah orang yang dipukul terutamanya saudara sesama Islam. Jangan dibiarkan atau “buat tidak tahu” dan melihat sahaja saudara kita dipukul dan dibelasah secara beramai-ramai. Hadith ini adalah “order” daripada Rasulullah s.a.w., berdosa sekiranya kita “pejam mata” dan tidak menolongnya. Sekurang-kurangnya halanglah atau buat “report”, damaikan, leraikan pergaduhan dan suruh mereka berhenti dari memukulnya. Kita perlu campurtangan dalam hal sebegini kerana umat Islam adalah bersaudara.
Umat Islam dilarang mengacu senjata sesama mereka kerana kita adalah bersaudara. Maksud hadith: Daripada Abdullah bin Umar r.a bahawa Nabi S.A.W telah bersabda: Sesiapa yang menghunus senjata kepada kita, maka ia bukan dari kalangan kami. Ini bukanlah bermakna mereka yang mengacu senjata itu adalah kafir, cuma mereka tidak termasuk dalam kumpulan Rasulullah s.a.w.
Islam adalah agama perdamaian dan umat Islam mestilah bersatu padu. Dalam Islam, haram tidak bertegur sapa sesama Islam selama tiga hari (kerana bergaduh). Dari tidak bertegur sapa boleh membawa kepada perpecahan dan akhirnya umat Islam menjadi lemah. Kata pepatah Melayu, “Bersatu teguh, bercerai roboh”. Kata pepatah asing “Kekuatan itu ada dalam kesatuan“. Kita dilarang memusuhi sesama Islam, walaupun di antara Ahli Sunnah dan Syiah. Syiah masih Islam, cuma mereka tergelincir. Dalam sebuah hadith disebut, jangan kafirkan mereka yang sembahyang menghadap kiblat.
Sabda Rasulullah s.a.w, bermaksud: “Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat? Jawab para sahabat: Bahkan (Ya). Sabda baginda:mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” – Riwayat Abu Daud.
Malah kita juga diharuskan berbohong untuk mendamaikan antara manusia yang bersengketa. Tiada istilah bohong sunat, cuma ia diharuskan bagi tujuan perdamaian. Rasulullah SAW bersabda:”Bukanlah termasuk pendusta (pembohong) orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik.” Begitu juga seorang isteri dibolehkan berbohong demi untuk menjaga keharmonian rumahtannga, misalnya dalam soal nafkah.Ini diceritakan dalam kisah Hindun yang mengadu kepada Rasulullah terhadap suaminya Abu Sufyan yang mempunyai harta tetapi kedekut. Hindun mencuri sebahagian harta Abu Sufyan untuk keperluan dirinya. Rasulullah SAW membenarkan Hindun mengambil harta Abu Sufyan walaupun tanpa pengetahuan Abu Sufyan dengan kadar yang munasabah.
Janganlah bertengkar walaupun dalam soal agama. Pada mulanya Rasulullah s.a.w. telah mendapat tahu dari Malaikat Jibril tentang bilakah malam Lailatulqadar, namun belum sempat Baginda hendak memberitahu sahabat, Baginda terlupa kerana melihat dua orang sahabat sedang bertengkar. “Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kamu berkenaan Lailatul Qadar, tetapi ada dua orang sedang berselisih sehingga pengetahuan berkenaannya tidak diberikan. Mudah-mudahan ini lebih baik bagi kamu, carilah di malam 29, 27, 25 (dan dalam riwayat lain, pada malam ke tujuh, sembilan dan lima).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/232))

No comments:

Post a Comment