Sunday, 9 September 2012

DOSA MAKSIAT WAJIB DIJAUHI BUKA DICARI

1. Tiada siapa boleh mendakwa bahawa dia tidak pernah melakukan maksiat melainkan para nabi dan rasul yang ma’sum (terpelihara daripada dosa). Namun ia bukan alasan untuk melakukan maksiat dan berterusan dengannya. Kerana dosa yang kita dapat daripada maksiat yang dilakukan sangat berbahaya kepada diri kita dan masyarakat. Ia menjauhkan kita daripada Allah Azza wa Jalla dan rahmatNya. Pada masa yang sama ia mendekatkan kita dengan kemurkaanNya dan azabNya, wal ‘iya zubillah.

2. Sekiranya seseorang berterusan melakukan maksiat dan kesilapan, maka semakin jauh dia daripada Allah SWT. Sebab itu, terdapat banyak ayat al-Qur’an yang memberi amaran agar menjauhi dosa, disamping menjelaskan balasan yang bakal diterima oleh pelaku dosa. Allah SWT mendedahkan apa yang menimpa umat terdahulu kerana dosa yang mereka lakukan menerusi firmanNya dalam surah al-Maidah ayat 49 bermaksud:
Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.

3. Begitu juga dengan fiman Allah Azza wa Jalla dalam surah al-A’raf ayat 100 yang bermaksud:
Adakah (yang demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka.

4. Demikianlah bahaya dan kesan maksiat yang dilakukan yang menyebabkan dosa lantas mengundang azab Allah SWT. Kebanyakan para ulama’ telah membahagikan dosa kepada dua jenis iaitu dosa kecil dan dosa besar. Antaranya sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Qarafi (684H), katanya:
Dosa-dosa itu terbahagi kepada dosa kecil dan dosa besar. (al-Qarafi, al-Furuq)

5. Pembahagian para ulama’ tersebut berdasarkan istiqra’ (penelitian) terhadap teks ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith nabi SAW yang menyebut secara jelas perkataan al-kabair (dosa besar), lalu yang selain daripadanya adalah bukan al-kabair, dan yang bukan al-kabair inilah yang dinamakan oleh para ulama’ dengan al-saghair (dosa kecil).

6. Di antara ayat al-Quran yang menyebut secara tepat dan jelas perkataan al-kabair ialah firmanNya dalam surah al-Najm ayat 32 yang bemaksud:
(Iaitu) orang-orang yang menjauhi kabair (dosa-dosa besar) serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Dia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu. Dia sahaja lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

7. Dalam hadith pula, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Solat lima waktu, dan Jumaat hingga Jumaat berikutnya, menghapuskan dosa di antara kedua-duanya selagi mana tidak melakukan dosa besar. (Riwayat Muslim) 

Dosa besar
8. Dosa besar adalah semua maksiat yang disebut secara jelas pengharamannya dalam al-Qur’an atau hadith nabi SAW sama ada dengan menggunakan perkataan laknat atau kemurkaan, hukumannya juga dinyatakan dengan jelas seperti azab atau api neraka.

9. Contoh-contoh dosa besar adalah syirik menyengutukan Allah SWT, membunuh orang lain tanpa kebenaran syara’ dan sihir. Firman Allah SWT tentang dosa membunuh sebagaimana dalam surah al-Nisaa’ ayat 93 bermaksud:
Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.

10. Nabi SAW pula meminta kita semua menjauhkan tujuh perkara yang boleh membinasakan. Ia dikategorikan sebagai senarai dosa-dosa besar. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Jauhkanlah diri kamu dari tujuh yang membinasakan, ditanyakan kepada nabi SAW: Apakah perkara-perkara itu wahai Rasulullah?, nabi menjawab: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang, menuduh zina kepada wanita mukminat yang baik. (Riwayat al-Bukhari).

11. Dengan senarai yang disebutkan dengan jelas, maka maksiat dan dosa tersebut adalah dalam kategori dosa-dosa besar. Ia disifatkan sebagai membinasakan kerana balasan yang bakal menimpa pada hari akhirat kelak. Kita perlu bersungguh-sungguh menjauhkan diri kita daripadanya agar tidak mendapat kebinasaan.

Dosa kecil
12. Selepas mengetahui dosa-dosa besar, maka selainnya adalah dalam kategori dosa kecil. Walaupun tidak disebut secara jelas akan hukumannya yang tertentu dengan kadar balasan yang tertentu, ia tetap maksiat yang mengundang dosa. Kerana ia termasuk dalam perbincangan akhlak yang buruk yang perlu dielakkan dan tabiat yang tidak baik.

13. Contoh-contoh dosa kecil ini seperti tidak menjawab salam, tidak memenuhi jemputan tanpa sebarang keuzuran, memukul dan mencederakan orang lain dan mengumpat. Namun kita perlu ambil perhatian, kerana jika dosa-dosa kecil ini berterusan maka ia boleh menjadi dosa besar.Maka dosa kecil tidak boleh dipandang ringan, dan ia tidak boleh berterusan. Imam al-Tabari (310H) menaqalkan kata-kata Ibn Abbas dalam tafsirnya:
Tiada dosa besar dengan istighfar, dan tiada dosa kecil dengan berterusan. (al-Tabari, Jami’ al-Bayan an Ta’wil Aiy al-Qur’an)

14. Dosa kecil juga boleh bertukar kepada yang lebih besar jika pelakunya berbangga dan bergembira dengan maksiat yang dilakukan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Semua umatku akan dimaafkan kecuali mujahir (mereka yang berterus terang). Mereka yang mujahir adalah seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan pada malam hari sedangkan Allah telah menutupnya, lalu berkata pada keesokan harinya: wahai fulan, aku telah melakukan itu dan ini semalam, pada malamnya Allah sembunyikannya, apabila pagi dia mendedahkan apa yang telah Allah sembunyikan. (Riwayat al-Bukhari)

15. Apabila mengetahui dua kategori dosa ini, maka kewajipan kita ialah menjauhkan dan meninggalkan semua dosa maksiat ini sebagaimana yang dilarang oleh Allah SWT dan rasulNya SAW. Tidak ada bezanya di antara dosa besar dan dosa kecil dari aspek perlu meninggalkannya, kerana ini yang diperintahkan oleh nabi SAW sebagaimana sabdanya bermaksud:
Dan semua yang aku larang daripadanya, maka jauhkan lah diri kamu daripadanya. (Riwayat al-Bukhari)

16. Meninggalkan maksiat ini tidak memerlukan kepada niat, berbeza dengan melaksanakan ibadat yang disyaratkan niat padanya seperti solat dan puasa. Menjauhkan maksiat akan tercapai maksudnya hanya dengan meninggalkan maksiat tersebut, ia tidak berhajat kepada niat. Namun, syeikhuna Dr. Mustafa al-Bugha mencadangkan kepada kami ketika pengajian bersamanya agar tetap berniat pada setiap awal pagi iaitu meninggalkan maksiat kerana menjunjung perintah Allah Azza wa Jalla agar beroleh ganjaran pahala daripadaNya. Ia adalah kefahaman yang diambil daripada kata-kata Imam al-Qarafi (684H):
Adapun perkara yang dilarang, ia tidak memerlukan niat secara syara’, bahkan seorang insan boleh terlepas daripada sesuatu larangan hanya dengan meninggalkannya sahaja walaupun tanpa dia sedari, apatah lagi untuk berniat kepadanya. Ya, jika seseorang berniat meninggalkan suatu larangan, semata-mata kerana Allah maka dia akan memperolehi pahala, dan jadilah perbuatan meninggalkan (larangan) tersebut sebagai mendekatkan diri (ibadah kepada Allah). (al-Qarafi, al-Furuq) 

17. Kesimpulannya, semua maksiat yang dilarang wajib kita tinggalkan, kerana dosa yang terhasil bakal membahayakan dan membinasakan kita. Berniatlah setiap hari, kita meninggalkan larangan semata-mata kerana Allah Azza wa Jalla, agar setiap detik masa yang kita lalui adalah ganjaran pahala yang tidak putus-putus.

No comments:

Post a Comment